Kanak-kanak

GOLONGAN KANAK-KANAK
PENGENALAN
Kanak-kanak ialah manusia yang muda, iaitu seorang yang masih belum mencapai baligh. Istilah kanak-kanak adalah berbeza dengan anak walaupun mempunyai kaitan yang sangat rapat. Dunia mereka dilalui dengan penuh riang dan ceria. Seiring usia yang masih mentah dan jiwa mereka yang putih bersih, kanak-kanak berhak menikmati kehidupan indah dan menggembirakan. Kanak-kanak perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya oleh anggota masyarakat bagi memberi peluang kepada mereka untuk berkembang potensi secara menyeluruh dan seimbang.


DASAR KANAK-KANAK NEGARA
Dasar Kanak-Kanak Negara bertujuan untuk melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni.


OBJEKTIF DASAR:
1. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberi jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial.


2. Setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi; dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi dan diintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat.


3. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk perkembangan holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, sahsiah dan kerohanian.


4. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara, menyertai (turut serta) dan melibatkan diri mengikut tahap keupayaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan terbaik dan kesejahteraan mereka.


5. Kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, komuniti dan masyarakat sedar akan hak kanak-kanak untuk kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan.


6. Penyelidikan dan pembangunan mengenai kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dilaksanakan dari semasa ke semasa.




HAK ASASI KANAK-KANAK
Hak asasi kanak-kanak sejagat telah digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau dikenali sebagai Children's Rights Convention (CRC) pada tahun 1989. Negara Malaysia telah terima pakai CRC kecuali mengekalkan reservasi terhadap Fasal 1, 2, 7, 13, 14, 15, 28 (1) (a) dan 37. kerana bertentangan dengan dasar, undang-undang dan amalan negara kita (Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia). Menurut CRC, hak utama kanak-kanak yang harus dilindungi adalah:
  • Hak untuk hidup
  • Hak memperoleh perlindungan
  • Hak berkembang
  • Hak penyertaan
Bagi memastikan mereka tidak terabai di dalam arus kehidupan masa kini yang penuh cabaran, hak asasi kanak-kanak perlu dihormati dan dilindungi dalam aspek yang berikut:
  • penjagaan
  • pendidikan
  • kemudahan asas
  • advokasi
  • perundangan
  • perkerjaan dan kesejahteraan hidup kanak-kanak. 

KEMUDAHAN YANG DIPERLUKAN OLEH GOLONGAN KANAK-KANAK
Kanak-kanak memerlukan pelbagai kemudahan untuk mendapat kehidupan yang lebih selamat dan selesa. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam menyediakan pelbagai kemudahan untuk golongan ini. Antara kemudahan untuk golongan kanak-kanak ialah:


TAMAN PERMAINAN
Taman permainan merupakan kawasan reakrasi untuk golongan kanak-kanak. Di samping itu, pihak berkuasa perlulah memperbanyakkan taman permainan di negara kita. Selain itu, aspek keselamatan perlu dipertingkatkan ke atas semua taman permainan untuk mengelakkan golongan ini daripada mengalami kecederaan semasa bermain di taman permainan.





PUSAT JAGAAN KANAK-KANAK
Menghantar anak-anak ke pusat penjagaan kanak-kanak telah menjadi sesuatu yang penting bagi kebanyakan keluarga. Pusat jagaan kanak-kanak dan ibu bapa adalah sahabat di dalam pembesaran dan perkembangan kanak-kanak. Pusat jagaan kanak-kanak adalah sambungan daripada rumah di mana kanak-kanak berasa selamat, selesa dan dikasihi. Tambahan pula, pusat jagaan kanak-kanak juga perlulah menitikberatkan perkembangan fizikal dan minda kanak-kanak yang sihat. Selain itu, pusat jagaan kanak-kanak dapat melindungi keselamatan kanak-kanak.





PERPUSTAKAAN KANAK-KANAK
Pada peringkat kanak-kanak, perpustakaan adalah satu tempat yang dapat memupuk minat kanak-kanak untuk membaca. Selain itu, kanak-kanak juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan mereka. Oleh itu, pihak berkuasa perlulah mempertingkatkan lagi perpustakaan kanak-kanak di seluruh negara. Selain itu, pepustakaan perlulah sentiasa ada pelbagai buku-buku yang menarik untuk kanak-kanak.



JEJANTAS
Jejantas perlulah diwujudkan di kawasan sekolah, supaya dapat menyelamatkan nyawa kanak-kanak semasa berjalan kaki pergi ke sekolah ataupun balik ke rumah. Oleh itu, pihak berkuasa perlulah membina jejantas di kawasan tertentu seperti kawasan sekolah, supaya dapat menyelamatkan nyawa kanak-kanak.




MENGADAKAN KELAS KEMAHIRAN UNTUK KANAK-KANAK
Pada peringkat usia muda ini, kanak-kanak memerlukan kelas kemahiran untuk memupuk minat hobi mereka terhadap sesuatu. Contohnya kelas melukis, kelas muzik dan sebagainya. Oleh itu, pihak berkuasa perlulah mengadakan kelas kemahiran itu yang percuma kepada semua golongan kanak-kanak ini. Hal ini kerana dapat meningkat perkembangan kognitif kanak-kanak dengan baik.